KUALA LUMPUR - Bekalan barangan keperluan bagi sambutan Aidilfitri tahun ini dijangka mencukupi dengan harga kekal terkawal walaupun berhadapan ketidaktentuan global termasuk ketegangan di Asia Barat.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, kementerian memantau rapat situasi bekalan dan harga di pasaran bagi memastikan kestabilan berterusan.
Beliau berkata, pemantauan dilaksanakan secara bersepadu bersama-sama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pemain industri bagi mengelakkan sebarang gangguan rantaian bekalan.
Perkara itu, menurut beliau turut dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) minggu lepas.
"Setakat ini bekalan dalam negara insya-ALLAH mencukupi dan harga masih terkawal walaupun ada sedikit impak daripada konflik di Asia Barat,” katanya dalam temu bual program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pada Selasa.
Azman berkata, KPDN telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk memantau pergerakan pasaran serta mengenal pasti sebarang perkara yang memerlukan tindakan segera.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN telah memeriksa 67,704 premis di seluruh negara melalui Ops Pantau sepanjang Ramadan setakat tengah malam semalam, dengan 1,173 kes ketidakpatuhan dikesan membabitkan nilai rampasan hampir RM13.69 juta serta kompaun berjumlah hampir RM260,000.
Beliau berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada pematuhan tanda harga, penggunaan alat timbang yang sah, status halal, penjualan barangan tiruan dan kesahihan promosi jualan murah.
Beliau berkata, jumlah aduan pengguna kekal tinggi setiap tahun dengan sebahagian besar melibatkan kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga.
"Setiap tahun kami terima lebih daripada 46,000 (aduan). Tahun lepas ada 46,200 aduan direkodkan manakala tahun sebelumnya 46,815 aduan. Jika berlaku sebarang insiden, jangan viralkan dulu. Lapor terus kepada KPDN supaya pihak KPDN akan mengambil tindakan,” katanya.
Azman berkata, aduan yang lengkap akan disiasat dalam tempoh 24 jam sebagai komitmen kementerian dalam melindungi hak pengguna.
Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi WhatsApp 019-8488000, talian bebas tol 1-800-886-800, aplikasi EZ Adu KPDN dan portal http://eaduan.kpdn.gov.my. - Bernama

