KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang akan menyiasat aduan pengusaha sayur di Cameron Highlands yang mendakwa tertekan dengan kejatuhan harga borong hingga 30 sen bagi sayuran tertentu sejak awal tahun ini.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Sim Chon Siang berkata, berdasarkan aduan diterima, kira-kira 30 jenis sayuran mengalami kejatuhan harga ketika ini.
Menurutnya, pengusaha dan pekebun mendakwa mereka tiada pilihan apabila pemborong hanya mahu membeli pada harga 20 sen hingga 30 sen berbanding RM1.20 hingga RM1.30 sebelum ini.
"Kerajaan negeri akan teliti isu ini memandangkan harga sayur di pasaran ketika ini agak tinggi RM3 ke atas.
"Sedangkan harga di peringkat borong jatuh menjunam hingga menjejaskan pengusaha dan pekebun apabila hasil yang diterima tidak mampu menampung kos dikeluarkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Walkabout Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026 di sebuah pasar raya di sini pada Isnin.
Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Jezlily Jamaluddin.
Chon Siang berkata, berdasarkan aduan, pekebun sayur mendakwa pengimportan sayur dari China antara penyumbang kejatuhan harga sayur di Cameron Highlands.
Situasi yang tidak dijangka itu menyebabkan rata-rata pekebun kini terhimpit malah ada yang mengadu tidak mampu membayar pinjaman bank.
"Saya sendiri akan turun padang pada 30 dan 31 Mac ini untuk meninjau dan memahami isu sebenar yang berlaku bagi membantu golongan tersebut.
"Saya juga minta pihak KPDN Pahang untuk mengambil tindakan segera termasuk memantau harga sayur di tanah tinggi itu," katanya.
Beliau berkata, satu sesi dialog akan dilaksanakan bersama pekebun dan pengusaha sayur terlibat.
"Kita juga mahu tahu dan kenal pasti pihak yang menentukan harga sayur di Cameron Highlands dan melalui sesi dialog itu diharap membantu menyelesaikan masalah harga sayur ini " katanya.
Sementara itu, beliau berkata, bekalan barang keperluan termasuk barang kawalan mencukup sepanjang tempoh musim perayaan ini.
"KPDN Pahang juga telah turun padang bagi memantau harga sempena pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2026 yang berkuat kuasa dari 14 Mac hingga 28 Mac ini.
"Sebanyak 24 jenis barangan dikawal di Pahang antaranya bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih (China), cili kering keriting, cili merah dan daging kerbau import," katanya.


