GURUN - Sebanyak 23 jenis barangan dikawal Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Kedah berbanding 27 jenis di seluruh negara.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDN Kedah, Zarina Aziz berkata, pelaksanaan SHMMP berkuat kuasa selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac 2026.
"Bila setiap kali musim perayaan... kita akan tengok keperluan ataupun fokus kepada penduduk setempat...contohnya di Borneo, kepak ayam selalu menjadi pilihan jadi kita kawal tapi tidak di Semenanjung cuma di Pantai Timur, ikan aya mendapat permintaan tinggi jadi kita kawal ikan aya itu.
"Jika bekalan banyak, jadi tidak ada masalah dari segi harga barangan...cuma kita bimbang yang kita kawal ini bagi mengelakkan kenaikan harga barang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memantau pelaksanaan hari pertama SHMMP di Mydin Gurun di sini pada Sabtu.
Zarina berkata, sebanyak 23 jenis barangan dikategorikan dalam SHMMP di Kedah termasuk daging kerbau import, daging lembu tempatan, ikan kembung termasuk ikan mabung, ikan selayang, kubis bulat import, sawi hijau, timun, tomato, cili merah, kacang panjang dan lobak merah.
"Barangan lain ialah bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih, ubi kentang, halia tua, kacang tanah, kacang dhal, cili kering kerinting, kelapa biji, kelapa parut dan santan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan SHMMP di Kedah tidak membabitkan empat jenis barangan yang disenaraikan di negeri lain.
Barangan tersebut ialah daging lembu import (Sarawak), ikan aya@tongkol (Pahang, Terengganu dan Kelantan), ikan demuduk (Sabah) dan kepak ayam (Sabah, Sarawak dan Labuan).
"Kita akan memantau SHMMP ini dengan 183 orang pegawai penguat kuasa di seluruh Kedah," katanya.
Beliau berkata, SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2026 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2026 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di www.kpdn.gov.my.
INFO: 23 jenis barang kawalan SHMMP di Kedah
- Daging kerbau import
- Daging lembu tempatan
- Ikan kembung termasuk mabung
- Ikan selayang
- Kubis bulat import
- Sawi hijau
- Timun
- Tomato
- Cili merah
- Kacang panjang
- Lobak merah
- Bawang kuning besar
- Bawang merah besar
- Bawang merah kecil India
- Bawang putih
- Ubi kentang
- Halia tua
- Kacang tanah
- Kacang dhal
- Cili kering kerinting
- Kelapa biji
- Kelapa parut
- Santan



