KUALA KRAI - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Arifabillah @ Mohd Asri Ibrahim penggal 2008 hingga 2013 meninggal dunia pada Selasa.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya jam 2.40 pagi di Klinik Kesihatan (KK) Dabong pada usia 60 tahun.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
"Semoga Allahyarham diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan hamba-NYA yang beriman dan beramal soleh," katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, Allahyarham pernah menjadi ADUN Dabong pada penggal ke-13 iaitu selepas menang bertanding atas tiket Pas.
Menurut Hilmi, beliau pernah bersama Allahyarham menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas kawasan Kuala Krai.
"Kami merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Abe Arif atas kehilangan orang tersayang. Semoga ALLAH mengampuni dan merahmati arwah serta menempatkannya bersama solihin," katanya.






