Bekas Menteri Besar Kelantan dilantik Mursyidul Am Pas

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 11:02 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bekas Menteri Besar Kelantan dilantik Mursyidul Am Pas

ALOR SETAR – Majlis Syura Ulama Pas mengumumkan pelantikan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sebagai Mursyidul Am parti itu yang baharu bagi menggantikan Datuk Hashim Jasin.

Turut dilantik adalah Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed selaku Timbalan Mursyidul Am dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, Mohd. Asri Mat Daud sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya, berkata pihaknya menghargai sumbangan, pengorbanan dan komitmen yang dicurahkan Hashim sepanjang memegang jawatan Mursyidul Am Pas sejak 2016.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap, kepimpinan yang baharu dilantik dapat terus memperkukuh peranan Majlis Syura Ulama dalam membimbing perjuangan Pas berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.

“Majlis Syura Ulamak PAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tuan Guru Datuk Hashim Jasin, atas segala khidmat bakti dan sumbangan sepanjang memegang amanah sebagai Mursyid Am Pas.

“Penghargaan sama turut ditujukan kepada Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh atas jasa dan khidmat bakti sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Hashim sebelum ini mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar sejak Februari lalu, sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Tahap kesihatan Hashim kemudian dilaporkan stabil dan dibenarkan pulang ke kediamannya pada Mac lalu, selepas menunjukkan perkembangan positif.

Untuk rekod, Hashim dilantik sebagai Mursyidul Am Pas yang keempat pada 10 Oktober 2016 oleh Majlis Syura Ulama PAS bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia pada 16 September tahun sama.

The post Bekas Menteri Besar Kelantan dilantik Mursyidul Am Pas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved