Bekas Ahli Parlimen Padang Besar meninggal dunia

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 11:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Bekas Ahli Parlimen Padang Besar meninggal dunia

SHAH ALAM, 13 NOV: Bekas Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin meninggal dunia, pada petang Jumaat.

​Perkhabaran duka itu dimaklumkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menerusi hantaran di Facebook miliknya malam ini.

Shahidan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat dirinya selaku seorang sahabat.

​ "Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Zahidi Zainul Abidin, mantan Ahli Parlimen Padang Besar.

​ "Saya amat berdukacita menerima berita pemergian sahabat saya ini. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Pada masa sama, Shahidan turut mendoakan seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menempuh ujian berkenaan.

Zahidi pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (2020-2021) serta bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar.

Allahyarham yang dilahirkan pada 9 Januari 1961 pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam politik dan pentadbiran negara termasuk Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (2020 hingga 2022).

Selain itu, Allahyarham turut pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dari 2015 hingga 2018.

Allahyarham pernah menjadi EXCO Perlis daripada 1999 hingga 2006 ketika pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Parlimen Padang Besar selama dua penggal daripada 2013 hingga 2022 serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri daripada 1999 hingga 2008.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved