Zahidi Zainul meninggal dunia

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 11:48 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Zahidi Zainul meninggal dunia

GEORGE TOWN – Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin meninggal dunia hari ini dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bayan Lepas, dekat sini selepas solat Isyak.

Berita pemergian beliau dikongsikan oleh bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

Ahli Parlimen Arau itu berkata, beliau amat berdukacita menerima berita pemergian Zahidi yang disifatkannya sebagai seorang sahabat.

“Dukacita dimaklumkan atas pemergian mantan Ahli Parlimen Padang Besar, seorang yang cukup berjasa dan pemergian Almarhum adalah satu kehilangan besar buat kita semua.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un…sepanjang hayatnya, almarhum telah mencurahkan bakti buat warga Padang Besar, semoga Allah SWT mengampuni segala dosa almarhum, menerima segala amal kebajikan serta pengorbanannya dan menempatkan rohnya dalam kalangan para solihin,” menurutnya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, tular di media sosial poster memaparkan ucapan takziah berikutan kematian Zahidi yang turut disertakan lokasi solat jenazah dan tempat pengebumian Allahyarham, iaitu di Masjid Bayan Lepas.

Perkara itu disahkan adik Allahyarham, Zafruddin Zainul Abidin ketika dihubungi yang memaklumkan abangnya meninggal dunia kira-kira 5 petang selepas kesihatannya merosot sejak Rabu lepas dan dirawat di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang dipercayai menghidap penyakit kegagalan buah pinggang serta perlu menjalani dialisis.

Untuk rekod, Zahidi yang berusia 65 tahun pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Padang Besar selama dua penggal selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14.

Beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam politik dan pentadbiran negara termasuk Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional serta Barisan Nasional, iaitu dari Mac 2020 hingga November 2022.

Dalam arena politik Negeri Perlis, Zahidi menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dari tahun 1999 hingga 2006 ketika Shahidan menyandang jawatan Menteri Besar dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Beseri dari 1999 hingga 2008.

— BERNAMA

The post Zahidi Zainul meninggal dunia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved