
JAKARTA – Menteri Komunikasi Indonesia, Meutya Hafid menggesa semua pihak agar bertenang selepas seorang bekas ahli parlimen dilantik (NMP) Singapura mencadangkan negara kota itu menjejaskan akses internet negara jirannya, dengan berhujah bahawa sebarang gangguan akan melumpuhkan kedua-dua negara, lapor akhbar South China Morning Post hari ini.
Meutya berkata, kerajaan dan orang ramai ‘tidak perlu sakit hati’ dengan komen bekas NMP, Calvin Cheng itu.
Di Singapura, NMP dilantik untuk membawa perspektif bukan partisan di Parlimen. Mereka tidak terikat dengan mana-mana parti politik atau bercakap bagi pihak kerajaan.
“Kita tidak perlu cemas. Sistem Komunikasi Kabel Dasar Laut yang mendarat di Singapura tidak berlaku secara tiba-tiba. Kebanyakan laluannya merentasi perairan Indonesia,” kata Meutya semalam seperti dipetik oleh akhbar harian Kompas.
Menurutnya, kabel dasar laut itu juga berkhidmat untuk kepentingan Singapura.
“Jika kabel itu terputus, sama ada secara tidak sengaja atau sengaja, 80 peratus sambungan Singapura juga berisiko lumpuh,” katanya menurut laman berita Jakarta Globe.
Meutya berkata, pasaran besar Indonesia memberi kelebihan kepada Singapura.
Populasi Indonesia adalah kira-kira 47 kali ganda berbanding Singapura, dengan sekitar 267 juta orang terhubung menerus internet.
“Tanpa angka sedemikian, pelabur atau syarikat teknologi global berpotensi menarik diri dari Singapura,” katanya.
Melindungi infrastruktur digital adalah tanggungjawab bersama, kata menteri itu lagi.
“Kita tidak boleh berfikir secara sempit. Infrastruktur digital adalah sektor yang mesti dilindungi bersama, bukan sahaja untuk kepentingan kedua-dua negara, tetapi juga untuk sambungan global,” tambahnya.
Meutya berkata demikian sebagai mengulas hantaran media sosial oleh Cheng pada Ahad lalu yang memaparkan infografik menggambarkan Singapura sebagai ‘titik digital kritikal’, di mana kira-kira 90 peratus trafik internet antarabangsa Indonesia melaluinya.
‘Potong?’ soal Cheng dalam kapsyen tersebut, sebelum menjelaskan dalam satu lagi hantaran bahawa Singapura ‘tentulah tidak akan berbuat demikian’.
Hantaran Cheng itu dibuat sehari selepas Jakarta mengumumkan akan mengurangkan eksport gas asli ke Singapura. – AGENSI
The post Bekas ahli politik Singapura cadang potong kabel internet Indonesia appeared first on Kosmo Online.





