liza11/09/2026 - 17:20 Aireen (kanan) menerima watikah pelantikan daripada Gobind (tengah) Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Sept – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar dilantik sebagai Pengerusi AI Malaysia Bhd iaitu agensi baharu kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui dan menyelaras agenda kecerdasan buatan (AI) negara.
Selain Aireen, lembaga pengarah sulung AI Malaysia Bhd turut dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital), Ma Sivanesan Marimuthu; Ketua Pegawai Teknologi Digital Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Muhammad Afhzal Abdul Rahman; serta Pengerusi Trendcell Sdn Bhd dan Pengarah MyTeksi Sdn Bhd, Foo Yen Ling Adelene.
Pelantikan itu dibuat ketika AI Malaysia Bhd sedang memperkukuh struktur institusinya selepas agensi berkenaan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Julai lalu.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Aireen membawa pengalaman lebih 20 tahun dalam transformasi perniagaan, teknologi dan pengembangan perniagaan di peringkat serantau ke dalam agensi berkenaan.
Beliau yang kini merupakan Ahli Lembaga Pengarah Tune Protect Group Bhd dan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah turut mempunyai pengalaman dalam membangunkan syarikat teknologi serta membantu pengasas mengembangkan perniagaan mereka.
Pengalaman Aireen merangkumi pengembangan syarikat, AI dan transformasi digital, strategi modal, tadbir urus korporat serta peluasan pasaran di rantau ASEAN.
Perkukuh Struktur Institusi AI Negara
Sebagai agensi peneraju AI di bawah Kementerian Digital, AI Malaysia Bhd bertanggungjawab menyelaras agenda AI negara serta menggalakkan penggunaan teknologi itu secara selamat dan bertanggungjawab.
Agensi berkenaan turut diberi mandat untuk memacu Pelan Tindakan AI Negara 2026–2030 bagi menyokong usaha Malaysia mencapai aspirasi sebagai Negara AI (AI Nation) menjelang 2030.
Gobind berkata, pelantikan lembaga pengarah sulung AI Malaysia Bhd merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh asas institusi bagi pelaksanaan agenda AI negara.
Menurut beliau, lembaga pengarah itu menghimpunkan pemimpin daripada sektor awam dan swasta yang mempunyai pengalaman dalam transformasi negara, dasar awam, pembangunan ekonomi digital, pelaburan serta inovasi AI.
Gabungan kepakaran itu, katanya, akan memberikan perspektif yang saling melengkapi antara kerajaan dan industri dalam menentukan hala tuju serta pelaksanaan agenda AI negara.
Daripada Strategi Kepada Pelaksanaan
Gobind berkata, penubuhan AI Malaysia Bhd menyediakan sebuah institusi khusus untuk menerajui dan menyelaras agenda AI negara secara lebih tersusun.
Menurutnya, pelantikan lembaga pengarah berkenaan akan membawa kepimpinan strategik, tadbir urus yang kukuh serta pandangan daripada sektor awam dan swasta kepada mandat tersebut.
Beliau berkata, langkah itu turut memperkukuh keupayaan institusi dan tadbir urus AI Malaysia Bhd ketika agensi berkenaan melaksanakan tanggungjawabnya di peringkat nasional.
Katanya, tumpuan kini adalah untuk menggerakkan agenda AI Malaysia daripada peringkat strategi kepada pelaksanaan yang diselaraskan serta menghasilkan impak, dengan berteraskan akauntabiliti dan kepentingan jangka panjang negara. - DagangNews.com





