SHAH ALAM - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dibenarkan mendapatkan semula pasport bagi membolehkannya menemani isteri keempat yang kini berada di Makkah dan dijangka melahirkan anak beberapa hari lagi.
Hakim, Datin Fatimah Zahari memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Nasiruddin, 67, untuk mendapatkan semula dokumen perjalanan yang disimpan di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, sehingga kes 331 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan lebih RM38.1 juta selesai.
Semasa prosiding, peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili Nasiruddin berkata, sebelum ini, anak guam dan isterinya, Ummu Mubaroqah Ashaari, 32, bertolak ke Tanah Suci untuk menunaikan haji.
Bagaimanapun, beliau berkata, Nasiruddin pulang semula ke Malaysia sementara isterinya, kekal berada di sana.
"Permohonan berkenaan dibuat bagi membolehkan anak guam ke Makkah untuk menemani isteri yang sakit dan dijangka melahirkan anak pada 8 atau 9 Oktober.
"Hospital di Makkah memberitahu bahawa isteri anak guam akan melahirkan cahaya mata melalui pembedahan dan pihak hospital memerlukan keizinan daripada pemohon," katanya.
Menurutnya, Nasiruddin hanya akan menempah tiket penerbangan selepas permohonan mendapatkan semula pasport dibenarkan mahkamah.
"Sebaik mendapat pasport, pemohon akan terus membeli tiket sebelum menyelesaikan urusan di Jabatan Imigresen berhubung sekatan yang dikenakan terhadap pasport," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul tidak membantah permohonan berkenaan.
Fatimah kemudian memerintahkan pasport berkenaan diserahkan semula kepada mahkamah sebelum atau pada 10 November depan.
Mengikut semua pertuduhan, Nasiruddin berdepan 77 pertuduhan didakwa menerima dan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM10,084,323.70 melalui beberapa akaun antara 2020 hingga 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.





