Representasi GISBH ditolak, bicara diteruskan

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 12:35 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Representasi GISBH ditolak, bicara diteruskan

SHAH ALAM – Representasi bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) bersama tiga bekas akauntan mengugurkan 331 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM38.1 juta ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul ketika prosiding keputusan status representasi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Fatimah Zahari di sini, hari ini.

“Dukacita representasi telah ditolak dan perkara itu telah dimaklumkan kepada peguam tertuduh.

“Justeru, pihak pendakwaan akan meneruskan dengan perbicaraan kes,” katanya.

Mohd. Ashrof berkata, pihak pendakwaan akan memanggil antara 15 hingga 20 saksi dengan tempoh perbicaraan dianggarkan antara enam hingga lapan hari.

Peguam Datuk Rosli Kamaruddin mewakili Nasiruddin Mohd. Ali, 67, serta pasangan suami isteri, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, dan Mohd. Khushairi Osman, 55 kemudian memohon tarikh bicara dan pengurusan kes.

“Ini kerana kami akan memasukkan representasi baharu bagi dipertimbangkan diberikan tawaran kompaun (bagi semua pertuduhan dihadapi tertuduh).

“Kita akan menghantar representasi itu selepas harta benda disita diserahkan kepada anak guam kami,” jelasnya.

Rosli turut menyebut bagi Peguam Kamal Hisham yang mewakili Hamimah Yakub, 74.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Januari depan sebagai tarikh keputusan representasi baharu dikemukakan pihak pembelaan.

Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 26, 27 dan 28 April; 28, 29 dan 30 Jun serta 6 dan 8 Julai tahun depan.

Berdasarkan pertuduhan, Nasiruddin didakwa atas 77 pertuduhan berjumlah RM10,084,323.70, manakala Hamimah pula berdepan 95 pertuduhan bernilai RM11,428,811.20.

Asmanira pula menghadapi sebanyak 68 pertuduhan berjumlah RM4,688,205.01, sementara 91 pertuduhan berjumlah RM11,958,561.10 membabitkan Mohd. Khushairi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen (4)1 akta sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Kesemua pertuduhan itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Kulim selain Shah Alam.

Kosmo! pada 11 November tahun lalu melaporkan sejumlah 230 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih 2.41 juta yang dilakukan empat tertuduh di Selangor dibicarakan secara serentak di Mahkamah Sesyen.

Selain itu, Hamimah turut didakwa 35 pertuduhan berjumlah RM9.28 juta di Mahkamah Sesyen Kulim, manakala Asmat @Asmanira pula dengan 22 pertuduhan (RM881, 813) di Mahkamah Johor Bharu serta 40 pertuduhan bernilai RM3.82 juta terhadap Mohd. Khushairi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

The post Representasi GISBH ditolak, bicara diteruskan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved