hamden17/08/2026 - 12:39 KUALA LUMPUR 17 Ogos - Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Majlis Amanah Rakyat Corporation (Mara Corp), Datuk Badlisyah Abdul Ghani, gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah membayar RM3.47 juta kepada syarikat itu kerana melanggar kewajipan kontrak, fidusiari dan statutori.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Wong Kian Kheong mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mendapati tiada alasan untuk campur tangan terhadap dapatan mahkamah berkenaan.
Dua lagi anggota panel ialah Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Pada 20 Mei 2024, Mahkamah Tinggi memerintahkan Badlisyah membayar RM3,468,215.42 kepada Mara Corp selain menanggung rugi syarikat itu bagi perbelanjaan berkaitan tuntutan perhubungan perusahaan yang melibatkan bekas pekerja.
Badlisyah dilantik sebagai CEO Mara Corp pada September 2020, namun digantung tugas pada November tahun sama sebelum perkhidmatannya ditamatkan berkuat kuasa Januari 2021.
Kes berkenaan berpunca daripada pengambilan 25 pekerja oleh Badlisyah tanpa kelulusan diperlukan daripada lembaga pengarah serta salah nyata kepada Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan Lembaga (BNRC) berhubung empat pekerja.
Seramai 12 daripada 25 pekerja itu dilantik ke jawatan pengarah kanan, yang didapati mahkamah berada di luar bidang kuasa Badlisyah.
Mahkamah persoal pengambilan 25 pekerja
Dalam alasan penghakiman bertarikh 12 Ogos, Ahmad Kamal berkata pengambilan 25 pekerja dalam tempoh singkat menimbulkan kebimbangan serius.
Beliau berkata tempoh pengambilan yang singkat, selain masa dan cara pelantikan dibuat, menunjukkan Badlisyah tidak membuat pertimbangan sewajarnya ketika menjalankan tanggungjawabnya.
Mahkamah turut mendapati 25 pelantikan itu menelan kos gaji kira-kira RM9.4 juta setahun kepada Mara Corp, sedangkan bajet emolumen syarikat yang diluluskan bagi 2020 hanya RM1.799 juta, lapor NST.
Badlisyah juga didapati melampaui bidang kuasanya apabila mengambil atau melanjutkan perkhidmatan 25 pekerja berkenaan tanpa syor terlebih dahulu daripada BNRC dan kelulusan lembaga pengarah.
Mahkamah bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Badlisyah telah meluluskan satu memo dalaman yang pada asasnya memperluaskan kuasanya untuk melantik pengarah kanan.
Menurut Ahmad Kamal, percubaan memperluaskan kuasa melalui memo dalaman itu tidak sah kerana Had Kuasa syarikat hanya boleh dipinda oleh lembaga pengarah.
Kekalkan dapatan salah nyata
Mahkamah Rayuan turut mengekalkan dapatan bahawa Badlisyah membuat salah nyata mengenai status empat pekerja ketika mesyuarat BNRC pada 2 November 2020.
Dalam mesyuarat itu, beliau mencadangkan empat pekerja berkenaan untuk jawatan kanan dan memaklumkan bahawa mereka "bersedia untuk menyertai Mara Corp".
Bagaimanapun, mahkamah mendapati keempat-empat mereka sebenarnya telah pun diambil bekerja oleh Mara Corp ketika jawatan berkenaan masih dipertimbangkan BNRC dan belum mendapat kelulusan lembaga pengarah.
Selain jumlah RM3.47 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan turut mengarahkan Badlisyah membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Mara Corp.
Mara Corp merupakan cabang pelaburan dan komersial Majlis Amanah Rakyat (MARA). Syarikat itu memfailkan saman terhadap Badlisyah pada Mei 2021 berhubung dakwaan pelanggaran kewajipan ketika beliau memegang jawatan CEO selama kira-kira tiga bulan.
Dalam prosiding rayuan tersebut, Mara Corp diwakili peguam Jack S'ng, Chng Keng Lung, Irene Wong dan Sarah Tham, manakala Badlisyah tidak diwakili peguam. - DagangNews.com






