
PUTRAJAYA: Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) direman tujuh hari bermula semalam kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan wang pelaburan dan saham bernilai RM190 juta.
Ini susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 29 Julai lalu bahawa TH mengalami kerugian hampir RM10 bilion akibat kegagalan mematuhi peraturan dan kesilapan dalam pelaburan sejak 2014.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek berusia dalam lingkungan 60-an itu tiba di pekarangan mahkamah di sini kira-kira pukul 9.38 pagi dengan kenderaan pelbagai guna (MPV), sebelum diiringi pegawai SPRM dengan tangan bergari dan berbaju lokap.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira pukul 3.30 petang kelmarin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Minggu lalu, tujuh individu ditahan termasuk seorang wanita terdiri daripada CEO, pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan TH bersabit laporan RCI.
Pada 30 Julai lalu, SPRM menubuhkan pasukan khas bagi meneliti dapatan RCI TH termasuk mengenal pasti unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Dalam pada itu, di Pulau Pinang, lima individu termasuk seorang pengerusi sebuah agensi kerajaan bergelar Datuk direman empat hari bagi membantu siasatan penyalahgunaan kuasa dalam urusan pelupusan tanah membabitkan kerugian kira-kira RM1.96 juta.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Noor Idayu Salim bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Difahamkan, selain pengerusi bergelar Datuk berusia lingkungan 50-an, turut direman ialah dua pengarah syarikat serta masing-masing seorang pengurus teknikal dan kerani wanita.
Suspek pertama iaitu pengerusi ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya sebagai timbalan pengerusi dan ahli lembaga pengarah ketika itu untuk meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Perai Selatan pada 2015 kepada sebuah syarikat yang disyaki milik sekutunya.
Suspek juga dipercayai menggunakan kedudukannya terlibat dalam meluluskan penjualan tanah pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.
Kesemua suspek ditahan secara berperingkat antara pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari, kelmarin. – UTUSAN
The post Bekas CEO Tabung Haji bergelar Tan Sri direman appeared first on Utusan Malaysia.






