Bekas COO TH didakwa lagi, terima kos ubah suai rumah RM8,882

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 11:33 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bekas COO TH didakwa lagi, terima kos ubah suai rumah RM8,882

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) sekali lagi dihadapkan ke mahkamah hari ini atas pertuduhan menerima kos ubah suai rumah bernilai RM8,882 sembilan tahun lalu.

Tertuduh, Adi Azuan Abdul Ghani, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin.

“Tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan,” kata tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Adi Azuan yang ketika itu merupakan COO TH didakwa menerima sesuatu yang berharga sebagai balasan yang diketahuinya tidak mencukupi, iaitu kos pengubahsuaian sebuah rumah bernilai RM8,882.77.

Kos itu diterima daripada Pengarah Syarikat AG Reka Sdn. Bhd., Thamsulazri Ismail yang diketahui mempunyai kaitan dalam urusan yang dijalankan tertuduh.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Bandar Sri Damansara di sini pada 7 Mac 2017 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan tertuduh mengguna pakai ikat jamin RM50,000 dan syarat tambahan seperti ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam. Tarikh sama pada 25 November ini ditetapkan bagi sebutan semula kes tersebut.

Berikutan kes hari ini melibatkan fakta kes dan saksi sama, Hakim Suzana memerintahkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam seperti yang dipohon pihak pendakwaan dan disahkan pihak pembelaan.

Semalam, Adi Azuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan sama menerima kos pengubahsuaian tiga buah rumah bernilai RM302,499.27.

Pada 3 September lalu, pertuduhan ke atas COO TH terpaksa ditangguhkan selepas lelaki itu tidak hadir ke mahkamah kerana menerima rawatan berkaitan jantung di Pakar Perubatan UM.

Sebelum ini, tujuh individu terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif, pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan TH ditahan SPRM bagi membantu siasatan berkaitan isu dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja TH. – KOSMO! ONLINE

The post Bekas COO TH didakwa lagi, terima kos ubah suai rumah RM8,882 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved