Bekas COO Tabung Haji Didakwa Kali Keempat, Babit Kos Ubah Suai Rumah RM8,883

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 5:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bekas COO Tabung Haji Didakwa Kali Keempat, Babit Kos Ubah Suai Rumah RM8,883

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani didakwa kali keempat atas pertuduhan menerima manfaat berupa kos pengubahsuaian rumah berjumlah RM8,882.77.

Adi Azuan, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Suzana Hussin, hari ini.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menerima manfaat daripada seorang pengarah syarikat, kira-kira sembilan tahun lalu.

Adi didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana sebagai penjawat awam menerima sesuatu benda bernilai tanpa balasan yang mencukupi.

Pertuduhan itu membabitkan kerja pengubahsuaian bernilai RM8,882.77 bagi sebuah rumah di Jalan Tanjung SD 13/4, Bandar Sri Damansara, pada 7 Mac 2017.

Kerja pengubahsuaian itu didakwa disediakan oleh Thamsulazri Ismail, pengarah AG Reka Sdn Bhd, yang didakwa diketahui Adi Azuan mempunyai urusan dengannya berkaitan rumah berkenaan.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irna Julieza Maaras, memaklumkan mahkamah bahawa Adi Azuan semalam telah didakwa atas tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam mengikut peruntukan sama.

Pendakwaan memohon pertuduhan hari ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama tiga pertuduhan sedia ada atas alasan ia membabitkan saksi dan kertas siasatan yang sama.

Irna Julieza turut memohon supaya syarat jaminan dan syarat tambahan yang dikenakan Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam turut terpakai terhadap pertuduhan terbaharu itu.

“Untuk makluman mahkamah, Mahkamah Sesyen Shah Alam membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin serta memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.

“Tertuduh juga dilarang mengganggu mana-mana saksi pendakwaan dan dikehendaki melaporkan diri di ibu pejabat SPRM di Putrajaya setiap tiga bulan sekali,” katanya.

Tiga pertuduhan yang difailkan di Shah Alam semalam membabitkan dakwaan menerima benda bernilai dalam bentuk kos pengubahsuaian berjumlah lebih RM302,000 bagi tiga buah rumah.

Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan 25 November depan untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Adi Azuan mengesahkan perkara itu dan tidak membantah permohonan pendakwaan.

Selepas kedua-dua pihak bersetuju, mahkamah membenarkan pertuduhan terbaharu itu dipindahkan dan diperintahkan untuk dibicarakan bersama tiga pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Adi Azuan sebelum ini antara lima pegawai kanan TH yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung agensi berkenaan. - Getaran, 25 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved