
SHAH ALAM – Pertuduhan terhadap bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) terpaksa ditangguhkan selepas tidak hadir ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima rawatan berkaitan jantung di Pusat Perubatan Pakar Universiti Malaysia (UMSC).
Bekas pegawai kanan TH itu dijadualkan didakwa atas tiga pertuduhan menerima suapan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Ketidakhadirannya dimaklumkan peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin ketika prosiding di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Isteri bekas pegawai kanan TH itu yang hadir di mahkamah turut mengesahkan perkara berkenaan di mahkamah.
“Suami mengadu alami sakit dada pada hujung minggu lalu. Akibat tidak tahan, dia ke UMSC untuk menjalani rawatan sakit itu. Dia telah menjalani beberapa siri ujian ECG (ujian elektrokardiogram). Pada hari ini, suami akan menjalani ujian ,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin menerima sebab ketidakhadiran bekas pegawai tertinggi TH itu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menetapkan keputusan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 September ini bagi sebutan semula kes bagi melihat sama ada tertuduh dapat hadir ke mahkamah untuk mendengar pertuduhan yang bakal dikenakan terhadapnya.
Sementara itu, Wan Azwan Aiman ketika ditemui selepas prosiding memaklumkan, anak guamnya akan berdepan tiga pertuduhan menerima suapan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, media melaporkan tujuh individu terdiri daripada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), seorang pengarah syarikat, seorang bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan TH ditahan SPRM pada 14 Ogos lalu bagi membantu siasatan berkaitan isu dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas COO TH sakit jantung, pertuduhan rasuah ditangguh appeared first on Kosmo Digital.






