
SHAH ALAM – Bekas eksekutif kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan menggunakan dokumen palsu membabitkan wang pendahuluan dan tuntutan berjumlah RM15,288.
Tertuduh, Mohd. Nizam Ibrahim, 50, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara curang menggunakan dokumen palsu berkaitan sebut harga, bayaran tunai dan resit bayaran tunai sebuah syarikat bagi mendapatkan wang pendahuluan diri serta bayaran tuntutan berjumlah keseluruhan RM15,288.
Dokumen berkenaan dikemukakan kepada sebuah GLC yang berkaitan dengan organisasi penyelidikan industri dan teknologi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat GLC berkenaan di daerah Petaling antara 22 April 2022 hingga 2 November 2023.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Alimi Mustapha mencadangkan jaminan RM20,000 dan seorang penjamin selain melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Selangor.
Mohd. Nizam yang tidak wakili peguam dalam prosiding tersebut kemudiannya merayu jaminan dikurangkan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap berikutan hanya bekerja secara sambilan ketika ini.
Dia turut memaklumkan perlu menanggung perbelanjaan perubatan isteri dan ibunya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat supaya pasport diserahkan kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi pendakwaan serta melaporkan diri di Pejabat SPRM Selangor pada setiap awal bulan bermula November depan.
Sebutan semula kes pada 7 Disember depan. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas eksekutif GLC guna dokumen palsu tuntut RM15,288 appeared first on Kosmo Online.






