
KUALA PILAH – Seorang tukang cat mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tujuh pertuduhan termasuk memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan yang mencederakan empat individu pada 22 Oktober lalu.
Tertuduh, Yap Kian Wai, 39, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Marlissa Mohd Fahmy.
Bagi empat pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Honda City di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kecederaan kepada empat individu dalam kejadian di Jalan Seremban-Kuala Pilah pada 22 Oktober lalu.
Kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu berlaku di beberapa lokasi sepanjang laluan berkenaan, termasuk berhampiran Taman Sri Terachi dan selekoh Kedai Santan selepas simpang Kedai Ain, di daerah ini.
Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(3A) APJ 1987. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun serta denda RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagi tiga pertuduhan berkaitan dadah pula, tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badan pada 22 Oktober lalu.
Dia turut berdepan dua pertuduhan memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 1.22 gram dan ketamine seberat 0.35 gram.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Vesvanathan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) C.P Hemananthini.-KOSMO! ONLINE.
The post Tukang cat jadi punca nahas lima kenderaan didakwa tujuh pertuduhan appeared first on Kosmo Online.






