
JOHOR BAHRU – Seorang bekas eksekutif pemasaran dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar 707.8 gram methamphetamine, lima tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Pesuruhjaya Kehakimanan Datuk Abdul Fareed Abdul Ghafoor membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap Ch’ng Chee Wen.
Dalam penghakimannya, Abdul Fareed berkata, keterangan tertuduh bahawa beg sandang yang mengandungi dadah itu tidak pernah berada dalam milikannya gagal dicabar.
“Semasa kes pembelaan, tiga orang saksi telah dipanggil dan dapatan mahkamah beg sandang itu digantung di sinki air semasa tertuduh ditahan.
“Seorang saksi bebas iaitu pekerja hotel menyatakan tertuduh tidak membawa beg sandang ketika dia turun dari hotel pada pukul 10.30 malam, sebaliknya hanya sehelai sepinggang sahaja.
“Terdapat keraguan terhadap keterangan saksi pendakwaan ketiga yang menyatakan beliau nampak tertuduh membawa beg sandang ketika membuat pemerhatian dari stesen minyak berhadapan hotel, namun keterangannya bertentangan dengan keterangan saksi pembelaan yang menyatakan saksi pendakwaan itu membuat pemerhatian di sebuah restoran dan bergerak-gerak sepanjang pemerhatian,” katanya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat bersih 707.8 gram pada pukul 12.50 tengah malam di persisiran pantai di belakang sebuah hotel di Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi, 23 Disember 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zuhainie Zull Kafli dan Nur Diana Zubir mengemukakan seramai empat saksi sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula 24 Mac 2025.
Sementara itu, seramai tiga saksi pembelaan dikemukakan termasuk tertuduh yang diwakili peguam Mohd Daud Ismail, Muhamad Abd Kadir dan Hang Lee Ying ketika prosiding bela diri bermula 9 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas eksekutif pemasaran terlepas hukuman mati appeared first on Kosmo Digital.



