Bekas Exco Agama Johor keluar UMNO sertai Bersatu

LocalPolitics
25 Jun 2026 • 8:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bekas Exco Agama Johor keluar UMNO sertai Bersatu
Mutalip (tengah) menyertai Bersatu di Pejabat Bersatu Pagoh pada Khamis.

MUAR - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Abd Mutalip Abd Rahim mengumumkan keluar daripada UMNO serta-merta dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh pada Khamis yang turut dihadiri Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Abd Mutalip yang pernah berkhidmat sebagai Exco Kerajaan Negeri Johor dari 2013 hingga 2018 berkata, keputusan tersebut dibuat secara sukarela tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak.

Beliau turut mengesahkan akan bertanding sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menurutnya, keputusan kembali bertanding dibuat selepas menerima desakan dan permintaan daripada pengundi di kawasan tersebut yang mahu beliau terus mewakili mereka.

"Orang akan tanya sebab apa yang terjadi sebenarnya di N27 Layang-Layang. Kalau kita lihat pengundi Melayu di situ ada lebih kurang hampir 60 peratus.

"Maka saya ditanya oleh pengundi-pengundi saya daripada kalangan orang Melayu. Saya bukan rasis, tidak kita tahu situasi ini sekarang dalam keadaan yang seperti ini pengundi sering akan menanyakan soalan-soalan kenapa tidak ada calon daripada kalangan orang Melayu yang diletakkan oleh parti-parti yang bertanding.

"Saya sudah penat, tapi di atas tanggungjawab demi agama bangsa dan juga pengundi-pengundi saya yang lain yang meminta kepada saya bersama, saya akan bertanding sekali lagi," ujarnya.

Beliau yang pernah menjadi ADUN Layang-Layang selama dua penggal pada 2013 dan 2022 menegaskan penghijrahannya ke Bersatu bukan didorong rasa kecewa atau permusuhan terhadap UMNO.

"Saya tiada isu dengan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Kami semua berkawan, tiada paksaan tiada rasa benci. Parti politik hanyalah platform untuk berkhidmat.

"Kita bukan mahu tunjuk siapa yang baik, tetapi kita akan berusaha lakukan yang terbaik untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat dengan semangat Maal Hijrah, jadi kita berhijrah kalau ada yang lebih baik," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved