Bekas GCEO Brahim’s, Mohd Fadhli Abdul Rahman dilantik CEO baharu Classita

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2025 • 3:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bekas GCEO Brahim’s, Mohd Fadhli Abdul Rahman dilantik CEO baharu Classita

image is not available

05/08/2025 - 15:18

Mohd Fadhli Abdul Rahman Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Classita Holdings Berhad melantik Mohd Fadhli Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat itu, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

Mohd Fadhli, 43, adalah tokoh korporat berpengalaman yang sebelum ini menerajui Brahim’s Holdings Berhad sebagai CEO Kumpulan sehingga Mac 2025.

Classita berkata, syarikat yakin pelantikan Mohd Fadhli akan memperkukuh kepimpinan organisasi dalam menghadapi cabaran pasaran dan mempercepatkan pelaksanaan strategi pertumbuhan jangka panjangnya.

“Latar belakang beliau yang luas dalam sektor logistik, pembuatan dan peruncitan meletakkan beliau dalam posisi yang kukuh untuk mengemudi cabaran dan peluang yang bakal dihadapi oleh Calissta pada masa akan datang,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Mohd Fadhli memiliki kelulusan profesional dalam bidang Perakaunan daripada Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sepanjang kepimpinannya di Brahim’s, beliau memainkan peranan penting dalam merencanakan pelan pemulihan kewangan dan transformasi korporat syarikat tersebut.

Beliau juga antara individu utama dalam rundingan pengambilalihan strategik kepentingan SATS Singapore dan pelaksanaan pelan penstrukturan semula hutang yang berjaya menjimatkan kos secara signifikan kepada kumpulan Brahim’s.

Pelantikannya dilihat bakal memperkukuh hala tuju strategik Classita memandangkan rekod pencapaian beliau termasuk memastikan kelangsungan operasi semasa pandemik COVID-19 serta meraih kontrak katering utama dengan syarikat penerbangan antarabangsa seperti British Airways, Etihad dan China Southern Airlines.

Mohd Fadhli memulakan kerjayanya dalam sektor logistik dan pembuatan sebelum beralih ke bidang audit, peruncitan dan pegangan pelaburan.

Di Brahim’s, beliau menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan pada 2017, kemudian dinaikkan sebagai Ketua Pegawai Operasi, dan akhirnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

Beliau juga berperanan sebagai CEO Brahim’s Food Services Sdn Bhd, anak syarikat yang mengurus operasi katering dalam pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mohd Fadhli turut pernah memegang jawatan penting di beberapa syarikat ternama seperti Idaman Unggul Berhad, DRB-HICOM Berhad serta GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd iaitu pemilik jenama Giant dan Guardian.- DagangNews.com

standard