Bekas Hakim Besar Malaya, Siti Norma Yaakob meninggal dunia

13 Mar 2026 • 4:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Siti Norma meninggal dunia di KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital di Kuala Lumpur, petang tadi pada usia 85 tahun.

KUALA LUMPUR - Bekas Hakim Besar Malaya dan wanita pertama yang memegang jawatan itu, Tan Sri Siti Norma Yaakob, meninggal dunia di KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital di sini, petang tadi.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 85 tahun.

Perkara itu disahkan anaknya Meor Amri Meor Ayob, 56, ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, ibunya menghembuskan nafas terakhir pada 1.51 petang akibat pneumonia.

Siti Norma dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan pada 6 Julai 1940 dan turut mencatat sejarah sebagai wanita pertama di negara ini yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan serta Hakim Mahkamah Persekutuan.

Allahyarham merupakan hakim wanita pertama dari Malaysia yang dilantik menyertai Mahkamah Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC) pada 2008.

Jenazah Allahyarham akan dimandi dan disolatkan di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang pada petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana sejurus selesai solat jenazah. - Bernama