
PETALING JAYA : Seorang bekas kakitangan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3 juta.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu telah ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Satu sumber berkata, suspek menerima rasuah daripada seorang pengarah syarikat kontraktor sebagai balasan membantu mendapatkan projek penyelenggaraan jalan di pencawang elektrik bernilai kira-kira RM95 juta di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2025 dengan menggunakan dokumen berkaitan perolehan dan pelantikan kontraktor bagi meyakinkan pengarah syarikat berkenaan.
“Suspek turut dipercayai menerima wang rasuah melalui beberapa keping cek yang disalurkan oleh beberapa syarikat yang bertindak sebagai orang tengah,”katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
“Perintah reman selama lima hari sehingga 16 November ini dikenakan terhadap suspek yang dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini,” jelasnya. – UTUSAN
The post Bekas kakitangan GLC ditahan SPRM Selangor rasuah RM3 juta appeared first on Utusan Malaysia.






