
KUANTAN: Bekas Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Cameron Highlands mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima wang rasuah sebanyak RM2,000, tahun lalu.
Wan Muhammad Faiz Wan Asri, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie. Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Balai JBPM Cameron Highlands didakwa menerima wang berjumlah RM2,000 daripada S. Amar Singh tanpa sebarang balasan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 9.45 malam pada 28 Mei 2025 di perkarangan Dewan Serbaguna Puncak Arabella, Cameron Highlands. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana sebagai penjawat awam menerima barang berharga tanpa balasan daripada individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli mencadangkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran sehingga kes selesai.
Pihak pendakwaan turut memohon supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan sepanjang prosiding berlangsung.
Bagaimanapun, peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan minimum dengan mengambil kira latar belakang anak guamnya yang berpendapatan RM3,000 sebulan, selain perlu menanggung isteri, seorang anak berusia lima tahun serta ibu bapa yang sudah lanjut usia.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia serta mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tertuduh juga perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan. Mahkamah menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN
The post Bekas Ketua Balai Bomba Cameron Highlands didakwa terima rasuah RM2,000 appeared first on Utusan Malaysia.






