
KUANTAN – Bekas Ketua Balai Bomba Cameron Highlands mengau tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM2,000, tahun lalu.
Tertuduh, Wan Muhammad Faiz Wan Asri, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, tertuduh ketika bertugas sebagai Ketua Balai Bomba Cameron Highlands didakwa menerima wang RM2,000 daripada S. Amar Singh tanpa balasan kira-kira pukul 9.45 malam, 28 Mei 2025 di pekarangan Dewan Serbaguna Puncak Arabella.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli mencadangkan jaminan RM12,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz merayu jaminan yang minimum dengan mengambil kira latar belakang anak guamnya yang berpendapatan RM3,000 sebulan, selain menanggung isteri, seorang anak berusia lima tahun serta ibu bapa yang lanjut usia.
Sazlina membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan dan mengarahkan pasport lelaki itu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tertuduh juga dikehendaki melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan. Mahkamah menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas Ketua Balai Bomba Cameron Highlands didakwa terima rasuah RM2,000 appeared first on Kosmo Online.






