Bekas komando ceroboh bilik bilal masjid, curi duit tabung dipenjara empat bulan

3 Sep 2026 • 4:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bekas komando ceroboh bilik bilal masjid, curi duit tabung dipenjara empat bulan
Tertuduh (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh terhadap pertuduhan menceroboh bilik bilal sebuah masjid, bulan lalu.

MELAKA - Bekas komando dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah menceroboh bilik bilal sebuah masjid, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Zaidi Mohtar, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menceroboh dengan memasuki ruangan bilik bilal Masjid Al Wathoni, Bukit Pegoh, Bukit Larang, Telok Mas, di sini sekitar jam 2 pagi, 11 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 13 Ogos lalu kira-kira jam 6.40 pagi, pengadu yang berada di masjid berkenaan dimaklumkan bilal bahawa wang tabung masjid di bilik bilal hilang sebanyak satu ikat dianggarkan RM70.

Wang berkenaan diletakkan di dalam peti wang yang tidak berkunci.

Pengadu kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali memasuki masjid melalui ruang Muslimah sebelum menuju ke bahagian dalam masjid pada kira-kira jam 2 pagi, 11 Ogos lalu.

Susulan itu, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Pada 2 September lalu kira-kira jam 12.15 tengah hari, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kandang menahan tertuduh dan siasatan mendapati tertuduh terbabit dalam kes berkenaan.

Terdahulu, peguam YBGK mewakili tertuduh memohon hukuman minima kerana pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos pendakwaan.

Dalam rayuan memaklumkan tertuduh merupakan duda tidak mempunyai pekerjaan dan masih berusaha mencari pekerjaan, selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh tangkapan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved