
SUNGAI PETANI: Bekas operator kilang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mengambil bahagian dalam transaksi bertujuan memberikan kawalan secara tetap terhadap seorang bayi, bulan lepas.
Tertuduh, S. Kelsey, 24, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim. Mahkamah bagaimanapun menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan jatuh hukum.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mengambil bahagian dalam transaksi bertujuan memberikan kawalan secara tetap terhadap bayi berkenaan yang kini berusia 12 hari, dengan balasan wang RM17,300 di sebuah hospital swasta di sini antara 7.30 pagi, 18 Ogos hingga 1.30 pagi, 21 Ogos lepas.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 48(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, RSN Rayer memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi mendapatkan fakta kes dan jatuh hukum, selain memohon jumlah jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya tidak bekerja sejak hamil dan perlu menyara keluarganya.
Rayer turut memohon mahkamah memberi ruang kepada anak guamnya berikutan keadaannya yang lesu selepas ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan, tiga hari selepas melahirkan anak bulan lepas.
Hakim Nabisha membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Sementara itu, Kelsey turut mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret, di sini kerana memiliki kad pengenalan milik orang lain.
Mengikut pertuduhan, dia didapati memiliki kad pengenalan milik seorang wanita berusia 33 tahun, sedangkan dia mengetahui kad pengenalan itu adalah milik orang lain, di hospital sama pada 1.30 tengah hari, 21 Ogos lepas.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM3,000, atau kedua-duanya.
Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan turut menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula dan jatuh hukum.
Sebelum ini, akhbar melaporkan polis menahan enam individu warga tempatan termasuk wanita itu yang disyaki menggunakan dokumen pengenalan diri individu lain ketika melahirkan anak di sebuah hospital swasta, di sini bulan lepas.-UTUSAN
The post Wanita mengaku miliki MyKad orang lain, ‘jual’ bayi dilahirkan appeared first on Utusan Malaysia.






