
DUNGUN – Seorang bekas mudir sebuah maahad tahfiz di daerah ini ditahan reman selama lima hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes amang seksual terhadap tiga bekas pelajar lelakinya berusia antara,13 dan 14 tahun pada tahun lalu.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 26 tahun itu dibenarkan Majistret Ng Yan Ni, di Mahkamah Majistret Dungun, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, suspek yang kini merupakan guru sambilan hafazan al-Quran sebuah sekolah agama di daerah ini ditahan di rumahnya di Paka, di sini,pada pukul 11 malam tadi.
Menurutnya, penahanan tersebut dilakukan berikutan tiga laporan diterima daripada mangsa.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah mengarahkan mangsa terlibat supaya melakukan perbuatan seksual terhadapnya.
“Perbuatan itu dipercayai berlaku secara berasingan di maahad tahfiz tersebut pada April hingga September tahun lalu,” katanya di sini hari ini.
Nik Ab. Halim berkata, suspek tidak lagi mengajar di maahad tahfiz tersebut selepas pusat itu ditutup pada Oktober tahun lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(d) AktaKesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas mudir disyaki ‘sentuh’ tiga pelajar lelaki direman appeared first on Kosmo Online.






