Bekas Peguam Negara, Gani Patail meninggal dunia

LocalPolitics
26 Nov 2026 • 10:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bekas Peguam Negara, Gani Patail meninggal dunia
Abdul Gani dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 9 malam Khamis.

KUALA LUMPUR - Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dilaporkan meninggal dunia pada Khamis malam.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang dihubungi Bernama mengesahkan berita duka itu.

Jelasnya, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira 9 malam Khamis.

Dalam pada itu peguam kanan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Tan Sri Abdul Gani Patail susulan pemergian bekas Peguam Negara itu.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan kepada keluarga besar perundangan negara, mengambil kira sumbangan besar Allahyarham terhadap institusi perundangan dan pentadbiran keadilan negara.

Zainul Rijal turut berkongsi bahawa beliau mempunyai banyak kenangan bersama Allahyarham, sama ada dalam urusan peribadi mahupun rasmi.

Menurutnya, Allahyarham juga merupakan seorang tokoh yang sangat menghormati undang-undang syariah.

Beliau berharap segala jasa dan sumbangan Allahyarham menjadi amal jariah yang berpanjangan, selain mendoakan agar ALLAH SWT mengampuni segala dosa serta menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Allahyarham merupakan Peguam Negara kelapan Malaysia yang memegang jawatan berkenaan dari 1 Januari 2002 hingga 27 Julai 2015.

Dilahirkan pada 6 Oktober 1955 di Lahad Datu, Sabah, Allahyarham memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya pada 1979.

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang perundangan sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Kota Kinabalu, Sabah sebelum dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang Persekutuan Kanan di negeri itu pada 1985.

Allahyarham kemudian menyertai Jabatan Peguam Negara pada Januari 1994 dan memegang beberapa jawatan kanan termasuk Ketua Bahagian Pendakwaan serta Ketua Bahagian Penasihat dan Antarabangsa.

Pelantikan beliau sebagai Peguam Negara pada 2002 menyaksikan khidmatnya dalam jawatan itu selama lebih 13 tahun sebelum ditamatkan pada Julai 2015. - Awani

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved