
KLUANG – Seorang bekas pelajar kolej swasta dipenjara 178 bulan dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku salah atas 11 pertuduhan khianat dengan api, menyimbah cat merah serta membuat ugutan jenayah.
Di Mahkamah Sesyen, Muhammad Taufiq Jamal Ab. Nasir, 24, berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dengan membakar kereta milik Mohamad Nizam Abdul Rahman,49, di rumahnya di Taman Kiaramas pukul 8.30 malam, 20 September lalu.
Tertuduh turut berdepan tuduhan sama dengan melakukan khianat terhadap kereta milik Mohd. Ghazali Hussain, 72, di kediamannya di Taman Fajar kira-kira pukul 9.20 malam pada tarikh sama.
Hakim Hanie Dzatul Akhmar Zulkifli menetapkan hukuman penjara 48 bulan bagi setiap pertuduhan secara berasingan selain denda RM10,000 bagi pertuduhan pertama serta RM5,000 bagi pertuduhan kedua.
Tertuduh turut diarahkan untuk membayar RM17,410 kepada mangsa yang mengalami kerugian akibat perbuatan khianatnya itu.
Di Mahkamah Majistret, Muhammad Taufiq berdepan sembilan pertuduhan melibatkan khianat dengan menyimbah cat merah sebanyak lima pertuduhan, manakala empat lagi melakukan ugutan.
Tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada kereta dan kediaman pada 7 Oktober, pukul 2.35 pagi, 2.49 pagi, 2.50 pagi, 3 pagi dan 7.30 pagi di Taman Seri Impian, Taman Emas, Kampung Melayu dan Taman Matahari.
Muhammad Taufiq turut berdepan empat tuduhan menampal kertas ugutan pada pagar rumah mangsa pada 20 September pukul 8.30 malam di Taman Kiaramas, 29 September pukul 9.20 pagi di Kampung Tengah, 7 Oktober pukul 7.30 pagi di Taman Seri Impian.
Bagi sembilan pertuduhan itu, Majistret Nurasidah A. Rahman menetapkan hukuman penjara antara enam hingga 12 bulan secara berasingan bagi setiap pertuduhan dengan keseluruhan berjumlah 178 bulan selain membayar pampasan RM860 kepada mangsa.-KOSMO! ONLINE
The post Bekas pelajar kolej simbah cat, bakar kereta kena jel 178 bulan appeared first on Kosmo Online.





