SHAH ALAM – Seorang bekas pemandu e-hailing dihukum penjara selama 30 tahun dan dikenakan 25 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, selepas didapati bersalah mengedar 24.5 kilogram ganja serta memiliki dua jenis dadah lain seberat lebih 10 gram, lima tahun lalu.
Hakim, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh, K Prakash, 43, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bapa kepada seorang anak itu dihukum penjara selama 30 tahun dan 12 sebatan bagi pertuduhan mengedar dadah manakala jel lima tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan kedua serta tiga tahun penjara dengan tiga sebatan bagi kes ketiga.
Mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan berjalan serentak bermula tarikh tangkap, 21 April 2021.
Semasa membaca keputusan, Latifah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya, berkata, tertuduh yang turut menjual mercun secara sambilan didakwa menyimpan dadah dalam beg dan kotak di rumahnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, semasa membela diri, Prakash mendakwa beg dan kotak berkenaan diberi oleh dua rakannya dikenali Luke dan Ashok, kerana menganggap ia berisi mercun.
“Prakash juga tidak bersetuju dengan keterangan bekas isteri yang juga saksi pendakwaan keempat (SP4) bahawa, dia membawa beg tersebut ke rumah sebelum ditangkap dan diletakkan balam bilik selama dua minggu.
“Pihak pendakwaan pula menyatakan, dakwaan tertuduh sebagai tidak masuk akal dan bersifat penafian semata-mata kerana tidak disokong dengan keterangan untuk menyangkal anggapan tersebut.
“Timbalan pendakwa raya juga memberitahu, dadah ditemui oleh pihak polis di rumah itu, melibatkan jumlah yang banyak maka mustahil dia tidak mengetahui kandungan beg tersebut, sedangkan nilainya mencecah ribuan ringgit,” kata Hakim.
Beliau berkata, untuk menyatakan tertuduh dianiaya kerana SP4 tidak menyokong keterangannya juga mustahil, kerana ketika kejadian mereka masih bergelar suami isteri.
Setelah mahkamah meneliti keterangan tertuduh Latifah menerima hujahan pendakwaan bahawa keterangan tertuduh bersifat penafian.
Katanya, tiada sebarang keraguan yang munasabah ditimbulkan oleh tertuduh terhadap kes pendakwaan.
“Semasa membela diri, hanya tertuduh yang memberi keterangan, manakala kawannya iaitu Luke dan Ashok tidak dipanggil sebagai saksi bagi menjelaskan isu mercun mahupun dadah tersebut.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan itu susulan pemansuhan hukuman mati mandatori di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
“Saya juga mendengar hujahan faktor pemberatan dan peringanan hukuman, termasuk mengambil kira rayuan tertuduh sendiri,” katanya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail memohon mahkamah menjatuhkan hukuman gantung dengan mengambil kira keseriusan kes memandangkan dadah merupakan musuh nombor satu dalam negara.
Prakash yang memakai baju-T berwarna putih, merayu supaya dia dikenakan hukuman ringan kerana sudah lama tidak tertemu keluarga.
“Beg itu kepunyaan Ashok malah dia telah ditangkap dua hari lalu kerana saya sendiri jumpa dia di penjara.
“Saya tak tahu nak rayu apa lagi, tapi saya harap dapat berjumpa dengan anak saya,” katanya menangis ketika berada di kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 24.5885 kilogram di sebuah unit pangsapuri di Bandar Sri Damansara, jam 5.45 petang 22 April 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, membawa hukuman gantung sampai mati.
Jika tidak dikenakan hukuman gantung, hendaklah dipenjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis ‘monoacetylmorphines’ seberat 6.4 gram dan heroin (4 gram), di lokasi, waktu dan tarikh serupa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) akta dadah berbahaya 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39A(2 dan) 39 A (1) akta sama.
Hukuman bagi Seksyen 39 A (2) akta sama, membawa hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan perlu dikenakan sebatan tidak kurang 10 kali, sementara Seksyen 39 A (1) ialah penjara antara dua hingga lima tahun dan sebatan antara tiga dan sembilan kali, jika sabit kesalahan.
