'Tony Pua, hormat titah tidak bermakna tolak Perlembagaan' - Peguam

LocalPolitics
20 May 2026 • 8:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Tony Pua, hormat titah tidak bermakna tolak Perlembagaan' - Peguam
Partiben (gambar kiri) menggesa Tony memberi penjelasan segera sama ada kenyataan beliau bermaksud mempertikai kuasa perlembagaan Sultan atau sebaliknya.

SHAH ALAM – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua digesa memberi penjelasan berhubung kenyataannya yang didakwa boleh mengelirukan rakyat mengenai kedudukan institusi diraja dalam sistem Raja Berperlembagaan negara.

Peguam, M Partiben berkata, kenyataan Tony yang dipetik sebagai 'beliau akan patuh Perlembagaan, bukan titah semata-mata berhubung titah Sultan Selangor', seolah-olah memisahkan institusi itu daripada Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya, beliau berkata, kedudukan dan kuasa Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam dan Ketua Negeri diperuntukkan secara jelas di bawah Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan Negeri Selangor.

“Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan sememangnya menetapkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi.

“Bagaimanapun kuasa Sultan yang termaktub dalam Perlembagaan itu sendiri adalah sebahagian daripada undang-undang tertinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Persenda titah sultan: Tony Pua biadab, bagai kaduk naik junjung - Asyraf Wajdi

'Saya terpaksa cari maksud kaduk naik junjung', - Tony Pua

Partiben berkata, menghormati titah dan nasihat Sultan tidak bermakna menolak Perlembagaan.

Beliau turut menggesa Tony memberi penjelasan segera sama ada kenyataan itu bermaksud mempertikai kuasa perlembagaan Sultan atau sebaliknya.

Katanya, kekeliruan tersebut tidak sepatutnya dibiarkan kerana boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi yang menjadi tunggak kestabilan negara.

Sebelum ini, Tony yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP dilaporkan menegaskan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem pemerintahan mutlak yang membolehkan raja menggubal atau mengikat semua aspek kehidupan rakyat melalui titah semata-mata.

Kenyataan tersebut dibuat susulan titah Sultan Selangor yang menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu supaya hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami serta menghayati makna sebenar Rukun Negara.

Baginda bertitah, langkah itu penting agar mereka menjadi rakyat yang memahami kepentingan menghormati kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu selain menjaga adab, kesopanan dan kesusilaan sebagaimana terkandung dalam prinsip Rukun Negara.