
KUALA LUMPUR – Seorang bekas pemandu Hakim Mahkamah Tinggi dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap hakim berkenaan pada Mei lalu.
Majistret Heng Yi Min menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Fareez Mohd Zin, 39, selepas tertuduh menukar kepada pengakuan bersalah pada sebutan semula kes itu hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Bahagian Sivil iaitu Yang Arif Gan Techiong, 64, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Mahkamah Tinggi Sivil, Jalan Duta di sini pukul 1.30 tengah hari pada 8 Mei lalu yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Jika ugutan melibatkan ancaman bunuh atau mendatangkan kecederaan parah, kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu di Mahkamah Majistret berlainan, Mohd. Fareez turut dipenjara empat bulan selepas turut mengaku bersalah atas pertuduhan melalui ujian air kencing, tertuduh didapati telah memberikan diri sendiri dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kesalahan itu didakwa di tandas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini pukul 11.10 malam pada 12 Mei lalu.
Justeru pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, selain pengawasan mandatori tidak kurang dua tahun.
Kesemua hukuman penjara itu diperintah berjalan secara berturutan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iman Nurhidayah Ezani dan Amritpreet Kaur Randhawa manakala tertuduh diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas pemandu ugut Hakim Mahkamah Tinggi dijel 3 bulan appeared first on Kosmo Digital.






