KUALA LUMPUR - Tindakan seorang bekas pemandu mengugut bekas majikannya yang juga hakim Mahkamah Tinggi serta mengambil dadah mengundang padah apabila dia dihukum penjara tujuh bulan oleh dua Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Mohd Fareez Mohd Zin, 39, dikenakan hukuman itu selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah semasa prosiding sebutan kes di hadapan Majistret, Heng Yi Min dan Amalina Johar.
Bagi kes ugutan, dia dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan sementara kes dadah empat bulan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula tarikh tangkap pada 12 Mei.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Bahagian Sivil, Gan Techiong dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada mangsa berusia 64 tahun.
Kesalahan didakwa dilakukan di Mahkamah Tinggi Sivil, Jalan Duta di sini jam 1.30 tengah hari pada 8 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memberikan diri sendiri dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, di tandas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini jam 11.10 malam pada 12 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, selain pengawasan mandatori tidak kurang dua tahun, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Mohd Fareez menghantar dua nota suara ugutan melalui aplikasi WhatsApp dan membuat panggilan telefon kepada setiausaha hakim berkenaan.
Tertuduh dalam kes ini diwakili peguam, Shah Rizal Abdul Manan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani dan Amritpreet Kaur Randhawa.






