Kesan Luka Dan Lebam Ditemui, Nenek Tiri Didakwa Bunuh Bayi 16 Bulan 

11 Aug 2026 • 8:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kesan Luka Dan Lebam Ditemui, Nenek Tiri Didakwa Bunuh Bayi 16 Bulan 

KOTA TINGGI - Seorang wanita berusia 39 tahun dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok atas pertuduhan membunuh cucu tirinya berusia 16 bulan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, polis menerima laporan kira-kira jam 9.30 pagi, 31 Julai lalu daripada suspek, yang mendakwa menemui bayi itu dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika sedang tidur di rumah mereka di Taman Sri Saujana, Johor Bahru.

Menurut beliau, suspek yang juga seorang suri rumah itu cuba mengejutkan bayi berkenaan, namun tidak menerima sebarang tindak balas.

“Pasukan perubatan yang dipanggil ke lokasi turut cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 10.30 pagi hari sama,” katanya.

Difahamkan, mangsa tinggal bersama nenek tiri dan datuknya sejak dilahirkan, manakala ibu kandungnya yang berusia 18 tahun sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej vokasional di negeri berkenaan.

Ab Rahaman berkata, kes itu pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, berkaitan pengabaian kanak-kanak yang mengakibatkan kematian.

Bagaimanapun jelasnya, hala tuju siasatan berubah selepas bedah siasat di Hospital Pasir Gudang 2 Ogos lalu menemui kesan kecederaan akibat hentakan objek tumpul pada tubuh mangsa.

“Selain itu, terdapat kesan luka dan lebam pada tubuh mangsa yang dipercayai akibat penderaan sehingga menyebabkan kematiannya,” katanya.

Susulan penemuan tersebut, polis mengklasifikasikan semula kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan menahan nenek tiri, datuk serta ibu kandung mangsa bagi membantu siasatan.

Ab Rahaman berkata, ketiga-tiga mereka telah direman sejak 2 Ogos lalu, manakala kertas siasatan yang telah lengkap dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Johor semalam.

“Kami telah menerima arahan untuk mendakwa nenek tiri mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok,” katanya.

Sementara itu, datuk dan ibu kandung mangsa telah dibebaskan dengan jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah dan akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan. - Getaran, 11 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved