amree21/10/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt — HB Global Limited mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa korporat Singapura selepas permohonannya untuk mengubah tarikh akhir tahun kewangan ditolak, ketika syarikat itu berdepan cabaran berkaitan peraturan audit dan pematuhan pelaporan kewangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pegangan pelaburan ditubuhkan sejak 2006 di Singapura itu berkata, permohonan mereka kepada Accounting and Corporate Regulatory Authority (ACRA) yang bertarikh 15 Oktober 2026 sudah pun ditolak pada 20 Oktober 2026.
Permohonan tersebut bertujuan mengubah akhir tahun kewangan syarikat daripada 30 Jun 2026 kepada 30 November 2026, bagi memberi ruang kepada kumpulan berkenaan untuk menangani keadaan yang dikenal pasti sebagai menjejaskan pengaturan audit dan kewajipan pelaporan kewangannya.
"Susulan keputusan berkenaan, HB Global bertindak mengemukakan rayuan kepada ACRA pada 21 Oktober 2026 untuk meminta pihak berkuasa negara tersebut mempertimbangkan semula keputusan serta dapat meluluskan cadangan perubahan tarikh tersebut," jelasnya.
Menurut syarikat itu, rayuan berkenaan sewajarnya dipertimbangkan dengan mengambil kira keadaan berhubung penarikan persetujuan untuk bertindak sebagai juruaudit oleh UHY Malaysia PLT serta cabaran memenuhi keperluan pelaporan kewangan di Singapura dan Malaysia.
Bagaimanapun ujarnya, rayuan tersebut masih lagi menunggu pertimbangan ACRA. Justeru, sebarang cadangan perubahan tarikh tahun kewangan berkenaan belum mendapat kelulusan dan tidak boleh dianggap sebagai sudah berkuat kuasa.

Isu itu menyusuli pengumuman HB Global pada 14 Oktober 2026 mengenai penarikan persetujuan UHY Malaysia PLT untuk bertindak sebagai juruaudit syarikat tersebut yang beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor selain cadangan mengubah tarikh akhir tahun kewangannya.
"Penarikan persetujuan juruaudit dan penolakan permohonan perubahan tahun kewangan meletakkan HB Global dalam keadaan yang memerlukan penyelesaian terhadap isu aturan audit serta pematuhan kewajipan berkanun dan kawal selia," jelas kumpulan berkenaan.
Sehubungan itu, syarikat tersebut akan terus menilai dan melaksanakan langkah yang diperlukan bagi menangani pengaturan audit serta memastikan pematuhan terhadap keperluan berkanun dan kawal selia yang terpakai di Singapura dan Malaysia.
HB Global yang disenaraikan di Pasaran Utama sejak 2010 itu turut memaklumkan bahawa apa-apa pengumuman lanjut akan dibuat kumpulan itu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan perkara berkenaan.
Buat masa ini, keputusan rayuan ACRA menjadi perkembangan penting yang perlu diperhatikan, sementara HB Global berusaha menyelesaikan isu pengauditan dan memastikan kewajipan pelaporan kewangannya dipenuhi di kedua-dua negara. - DagangNews.com






