hamden23/10/2026 - 14:32 KUALA LUMPUR 23 Okt – Bekas pengarah syarikat, Datuk Seri Liew Kok Leong, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM5.5 juta dan pengubahan wang haram.
Liew membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ilmami Ahmad dan Hakim Suzana Hussin bagi kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Menurut laporan The Edge, bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang milik ARB Development Sdn Bhd berjumlah RM5.5 juta yang sepatutnya digunakan untuk membeli 51% pegangan ekuiti, bersamaan 255,000 saham biasa, dalam C&M Renewable Energy Technology Sdn Bhd.
Wang berkenaan didakwa dipindahkan ke akaun Messrs Ivan & Co sebelum disalurkan ke akaun Maybank milik Er Yan Shuen bagi tujuan membeli tiga unit kedai pejabat di Ipoh. Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mei hingga Jun 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Liew didakwa mengarahkan Er memindahkan wang berjumlah RM403,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun Maybank milik Er ke akaun CIMB milik Permata Global Sdn Bhd pada Jun 2019.
Pertuduhan pengubahan wang haram itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram itu, atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ikat jamin RM200,000
Mahkamah membenarkan Liew diikat jamin sebanyak RM200,000, selain mengarahkan beliau menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri kepada pihak berkuasa pada minggu pertama setiap bulan dan tidak mengganggu bakal saksi pendakwaan.
Hakim Suzana turut menerima pakai syarat jaminan yang sama dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan pengubahan wang haram dipindahkan ke mahkamah yang dikendalikan Hakim Ilmami untuk dibicarakan bersama pertuduhan asal.
Timbalan Pendakwa Raya, Julianazriana Jaafar, mencadangkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan mengambil kira jumlah wang yang terlibat.
Bagaimanapun, peguam bela Zander Lim Wai Keong memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan akaun bank Liew dan keluarganya dibekukan susulan siasatan yang sedang berjalan.
Beliau mencadangkan jaminan RM50,000, selain menyatakan penyerahan pasport kepada mahkamah mengurangkan risiko anak guamnya melarikan diri.
Kes akan disebut semula pada 10 Disember. - DagangNews.com




