hamden23/10/2026 - 14:55 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt – Comfort Gloves Bhd mencapai persetujuan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyelesaikan pertikaian cukai melibatkan dua anak syarikat milik penuhnya berjumlah RM8.3 juta.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar sarung tangan itu berkata persetujuan dicapai oleh Comfort Rubber Gloves Industries Sdn Bhd dan Gallant Quality Sdn Bhd pada 22 Oktober 2026, tertakluk kepada pemuktamadan dokumentasi penyelesaian.
Menurut syarikat itu, penyelesaian berkenaan dijangka tidak memberi kesan kewangan material kepada kumpulan memandangkan jumlah terbabit telah diperuntukkan dalam penyata kewangan kedua-dua anak syarikat berkenaan.
Selepas dokumentasi penyelesaian dimuktamadkan, kedua-dua anak syarikat itu akan menghentikan semua prosiding undang-undang berkaitan taksiran cukai yang dipertikaikan, sekali gus menamatkan pertikaian tersebut secara penuh dan muktamad.
Comfort Gloves turut menjangkakan penyelesaian itu tidak akan memberi sebarang kesan buruk material tambahan terhadap operasi kumpulan. - DagangNews.com





