
Bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah atas 71 pertuduhan menipu ahli perniagaan berhubung pembelian kereta terpakai membabitkan RM4.7 juta.
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat jual beli kenderaan terpakai didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 71 pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung urusan pembelian kenderaan terpakai yang tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian RM4.7 juta.
Kee Cher Kian, 34, mengaku tidak bersalah selepas kesemua 71 pertuduhan dibacakan satu per satu di hadapan Hakim Azrul Darus, Norma Ismail dan Muhammad Ilmami Ahmad.
Di hadapan Hakim Azrul, Kee berdepan dengan 26 pertuduhan sebagai pengarah syarikat Buycar2u didakwa telah menipu Wong Yoong Jed, iaitu pengarah syarikat Viso Capital Sdn Bhd dan Syarikat Lio Capital Sdn Bhd, supaya mempercayai terdapat pembelian pelbagai jenis kenderaan antaranya Toyota Alphard dan Vellfire, Lexus RX200 dan IS 250, Land Rover Evoque, Mini Cooper, Mercedes Benz C200 dan BMW X5.
Perbuatan itu telah mendorong Wong untuk menyerahkan wang RM1.69 juta daripada akaun bank milik Lio Capital dan Viso Capital ke dalam akaun bank milik syarikat Buycar2u.
Di hadapan Hakim Norma dan Hakim Muhammad Ilmami, tertuduh berdepan dengan 30 pertuduhan melibatkan wang berjumlah RM1.98 juta dan 15 pertuduhan melibatkan RM1.02 juta.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa cawangan bank di sekitar ibu kota antaranya di Menara KL Sentral dan Jalan Perak antara 5 Julai 2022 dan 3 Ogos 2022 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Suriatey Mohamed Yusoff dan Eugenie Meredith Gilbert, manakala tertuduh diwakili peguam J. Matthews.
Ketiga-tiga mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM215,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan 16 Okt ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.






