Bekas Pengarah UKMShape didakwa salah guna kuasa dapatkan kontrak RM3.12 juta

LocalPolitics
15 Oct 2026 • 11:53 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bekas Pengarah UKMShape didakwa salah guna kuasa dapatkan kontrak RM3.12 juta

SHAH ALAM – Bekas Pengarah Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMShape) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan salah guna kuasa mendapat kontrak pendidikan bernilai RM3.12 juta pada 2022.

Tertuduh, Prof. Datuk Dr. Muhammad Hussin, 64, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, anggota Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya melalui dua kontrak pengendalian program pendidikan di UKM.

Kontrak berkenaan membabitkan program Sarjana Pendidikan bernilai RM1.2 juta dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah bernilai RM1.92 juta menerusi Fakulti Pendidikan UKM.

Tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya dengan mempengaruhi Ahli Lembaga KSBB dalam dua mesyuarat lembaga koperasi supaya bersetuju melantik QTech Management Malaysia Sdn. Bhd. sebagai pengendali kedua-dua program tersebut sedangkan syarikat itu diketahui mempunyai kepentingan dengan dirinya.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah bilik kolej di UKM dan sebuah hotel di Bangi antara 26 Februari dan 25 Jun 2022.

Bapa sembilan anak itu dituduh mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM300,000 selain syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Wafi Anwar Roslan memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dengan alasan anak guamnya menanggung dua isteri dan sembilan anak termasuk bayi berusia 22 hari.

“Dia (tertuduh) bersara empat tahun lalu dan menerima pencen bulanan sebanyak RM8,000. Tertuduh juga menghidap kanser tisu serta penyakit jantung yang memerlukan rawatan berkala.

“Berkaitan syarat serahan pasport, saya mohon supaya ia tidak dikenakan kerana isteri kedua dan anak (tertuduh) berada di Indonesia,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 November ini. – KOSMO! ONLINE

The post Bekas Pengarah UKMShape didakwa salah guna kuasa dapatkan kontrak RM3.12 juta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved