Datuk Seri Nazir dedah pernah disiasat SPRM, tiada salah laku dikesan

LocalPolitics
8 Oct 2026 • 1:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Datuk Seri Nazir dedah pernah disiasat SPRM, tiada salah laku dikesan

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR), Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin mendakwa siasatan SPRM berhubung isu pelaburan RM10 juta yayasan itu dilakukan empat tahun lalu, namun tiada salah laku atau penyelewengan dikenal pasti.

Menurut beliau, perkara itu bagaimanapun kembali menjadi perhatian selepas SPRM melakukan penggeledahan di kediamannya sebelum menyita beberapa kenderaan pada 30 September lalu.

“Untuk rekod, kertas siasatan berkaitan isu ini pernah dibuka kira-kira empat tahun lalu.

“Pihak SPRM menjalankan siasatan, ketika itu, saya difahamkan tiada salah laku atau penyelewengan berkaitan perkara tersebut dikenal pasti pada 2022,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Mengulas mengenai penggeledahan itu, katanya, pegawai SPRM datang ke rumahnya pada pukul 6.30 pagi, 30 September lalu dan berada di sana hingga pukul 6.30 petang.

Nazir mendakwa, rumahnya digeledah sebelum beberapa kenderaan termasuk kereta dan motosikal disita atas alasan terdapat penyelewengan dana YBR berjumlah RM10 juta.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya mempertikai tindakan dan cara penyitaan tersebut yang pada pandangan saya merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Nazir turut mempersoalkan tindakan SPRM yang didakwa memuat naik kandungan di akaun rasmi TikTok SPRM Malaysia berlatarbelakangkan lagu bertemakan ‘penyamun’ dengan kapsyen ‘siasatan awal mendapati kedua-dua adik-beradik bersubahat’.

Katanya, perkara itu berlaku ketika siasatan belum berjalan dan tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadapnya.

“Perkara ini sekiranya dibaca, sekali gus boleh menimbulkan suatu persepsi bahawa saya telah pun disabit bersalah.

“Pada pandangan saya, tindakan sedemikian adalah tidak wajar dan tidak profesional, khususnya apabila ia melibatkan sebuah badan penguat kuasa,” katanya.

Sehubungan itu, Nazir merayu kepada Peguam Negara, Tan Sri, supaya meneliti perkara tersebut secara adil dan menyeluruh.

“Saya juga dengan rendah diri merayu kepada Yang Arif Tan Sri Peguam Negara agar melihat perkara ini secara adil dan menyeluruh supaya saya tidak dijadikan kambing hitam atau alat untuk memenuhi kepentingan mana-mana pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata, dirinya bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana proses undang-undang yang sah dan hanya menuntut keadilan, ketelusan serta proses yang adil.-KOSMO! ONLINE

The post Datuk Seri Nazir dedah pernah disiasat SPRM, tiada salah laku dikesan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved