Jerebu: Selangor negeri ketiga tutup sekolah

LocalEnvironment
8 Oct 2026 • 9:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jerebu: Selangor negeri ketiga tutup sekolah

SHAH ALAM – Selangor menjadi negeri ketiga selepas Negeri Sembilan menutup sepenuhnya semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) susulan keadaan jerebu.

Penutupan itu berkuat kuasa mulai esok sehingga dimaklumkan semula oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).

Pengarah Pendidikan Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata, keputusan tersebut selaras dengan kenyataan media KPM hari ini dengan setiap sekolah perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.

“Semua institusi pendidikan di bawah KPM di Selangor adalah ditutup sepenuhnya mulai esok.

“Guru-guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa dan penjaga diminta mengikuti makluman rasmi JPNS dari semasa ke semasa, terutama berkaitan tarikh pembukaan semula sekolah dan institusi pendidikan.

“Ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan tidak membuat sebarang andaian berkaitan pembukaan sekolah dan hanya merujuk kepada makluman rasmi JPNS atau KPM,” jelasnya.

Wan Nor Ashikin berkata, semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut diminta memastikan makluman itu disampaikan kepada sekolah, guru, AKP, ibu bapa, penjaga dan murid di daerah masing-masing.

“Pihak sekolah hendaklah terus memantau keadaan semasa serta mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan semua sekolah di seluruh Johor akan ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Oktober ini susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang berlaku di seluruh negeri.

Langkah penutupan turut dibuat di semua institusi pendidikan di bawah KPM Negeri Sembilan mulai esok. – KOSMO! ONLINE

The post Jerebu: Selangor negeri ketiga tutup sekolah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved