amree02/11/2026 - 09:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov — Bekas Pengarah Urusan Kyndryl bagi Malaysia dan Indonesia, Effendi Azmi Hashim dilantik sebagai Pengarah Urusan Equinix Malaysia berkuat kuasa serta-merta, ketika syarikat infrastruktur digital global itu mempergiatkan pertumbuhan perniagaan susulan peningkatan permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pusat data (DC).
Equinix Inc yang disenaraikan di Nasdaq berkata, Effendi Azmi akan bertugas di Kuala Lumpur dan bertanggungjawab mengetuai perniagaan syarikat tersebut di Malaysia, termasuk dalam aspek strategi, pertumbuhan pelanggan serta operasi.
Pelantikan itu dibuat ketika Malaysia semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai hab digital strategik di Asia Tenggara, didorong keperluan perusahaan terhadap infrastruktur digital yang selamat, berdaya tahan dan mempunyai tahap kesalinghubungan tinggi.
"Effendi Azmi membawa pengalaman selama 25 tahun dalam bidang perundingan perniagaan, teknologi serta kepimpinan komersial, selain mempunyai kepakaran industri dalam sektor perbankan, utiliti serta minyak dan gas," jelas kenyataan kumpulan berkenaan.
Sebelum menyertai Equinix, beliau menerajui Kyndryl bagi Malaysia dan Indonesia dengan tanggungjawab menyediakan hala tuju strategik dan operasi, termasuk membantu pelanggan melaksanakan agenda transformasi perniagaan.
Ujarnya, beliau juga pernah memegang jawatan kepimpinan kanan di Cognizant, Mesiniaga Berhad, IPERINTIS Sdn Bhd dan Accenture.

Effendi Azmi menggantikan Cheam Tat Inn yang akan bersara daripada kepimpinan operasi sepenuh masa selepas memainkan peranan penting dalam memperkukuh kehadiran dan pertumbuhan Equinix di Malaysia.
Naib Presiden Pertumbuhan dan Pasaran Baharu Asia Pasifik Equinix, Max Parry berkata, pengalaman luas Effendi Azmi dalam perkhidmatan teknologi, transformasi perniagaan dan pengurusan pelanggan akan membantu syarikat merebut peluang pertumbuhan dalam bidang AI, pengkomputeran awan dan transformasi digital.
Sementara itu, Effendi Azmi berkata, beliau berbesar hati menyertai Equinix ketika ekonomi digital Malaysia berkembang pesat, selain melihat syarikat tersebut mempunyai kedudukan strategik untuk membantu organisasi memperluas keupayaan digital dan memodenkan infrastruktur teknologi mereka.
Dari segi pelaburan, Equinix memaklumkan sudah mengumumkan komitmen pelaburan melebihi AS$700 juta (kira-kira RM3.05 bilion) di Malaysia sejak memasuki pasaran menerusi kemudahan di Johor dan Kuala Lumpur.
Pelaburan itu turut merangkumi penambahan kapasiti melebihi 5,800 kabinet menjelang 2028 bagi menyokong keperluan infrastruktur digital, pengkomputeran awan dan AI, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kesalinghubungan serantau. - DagangNews.com






