
KOTA BHARU – Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak campur tangan mengenai sebarang keputusan melibatkan bekas Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain yang telah dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkuat kuasa minggu lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, perkara itu merupakan urusan pentadbiran Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Katanya, AGC tiada sebarang pandangan rasmi berhubung penempatan semula Mohd. Shuhaily kerana perkara itu belum dirujuk kepada pihaknya untuk mendapatkan nasihat perundangan.
“Kita tidak campur sama ada Mohd. Shuhaily mahu kekal di situ (AKPS) atau ditukarkan balik ke PDRM. Itu kita tidak campur tangan. Itu lebih kepada soal pentadbiran.
“Jadi, jika ada isu mengenai sebarang tindakan lanjut berkaitan perkara perundangan, itu memang AGC akan terlibat. Cuma, perkara tersebut dalam tindakan pihak KDN secara pentadbiran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penyerahan Kampung Angkat Madani Jabatan Peguam Negara di Kok Lanas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Dasuki memberitahu, secara hakikatnya, Mohd. Shuhaily merupakan seorang pegawai polis yang diambil secara kontrak untuk berkhidmat di AKPS.
Katanya, AGC hanya akan terbabit sekiranya terdapat isu perundangan yang memerlukan penelitian atau tindakan lanjut daripada jabatan itu.
Media sebelum ini melaporkan, kedudukan Mohd. Shuhaily sedang diteliti dan dirujuk kepada AGC sebelum keputusan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, perkara itu turut dibangkitkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan bagi tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada campur tangan AGC berkait Mohd. Shuhaily dikembalikan ke PDRM appeared first on Kosmo Online.






