
PUTRAJAYA, 4 OGOS: Bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah di Lembah Klang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng kontrak pembekalan anak benih bernilai kira-kira RM8 juta.
Sumber memaklumkan lelaki berusia 50-an yang disyaki menyeleweng kontrak pembekalan anak benih kepada anak syarikat sebuah badan berkanun yang terlibat dalam sektor perladangan ditahan pada 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2015 hingga 2017.
“Suspek dipercayai menyeleweng projek pembekalan anak benih getah di dua syarikat perladangan, anak syarikat sebuah badan berkanun melibatkan kontrak bernilai kira-kira RM8 juta,” katanya.
Lelaki terbabit kini direman tiga hari hingga 6 Ogos ini selepas Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini.
Perintah tahanan reman itu susulan siasatan oleh pasukan khas ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.






