KOTA BHARU - Seorang bekas pengurus sebuah syarikat pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan pecah amanah dengan mengutip penalti sebanyak RM14,000 daripada kontraktor melibatkan projek membina serta menyiapkan projek sebuah bangunan komersial milik Tabung Haji antara November 2017 dan Ogos 2018.
Tertuduh, Mohamad Hashim Mukhatap, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Pengurus Pembinaan THP Timur Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah dengan secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta dan memasukkan wang berjumlah RM14,000 ke dalam akaun bank miliknya yang merupakan hasil kutipan penalti ke atas kontraktor iaitu syarikat Kelpile Sdn Bhd.
Kutipan tersebut melibatkan projek cadangan membina dan menyiapkan sebuah bangunan komersial 22 tingkat yang mengandungi 244 unit pangsapuri perkhidmatan, unit kediaman tingkat teratas (empat unit), kemudahan awam (aras tujuh), ruang perniagaan (dua tingkat), tempat letak kereta (lima tingkat), aras bawah tanah tambahan (satu tingkat) dan kemudahan yang berkaitan di atas Lot 273, Seksyen 12 di sini.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Sofea Residensi, Seksyen 12 di sini antara 15 November 2017 dan 8 Ogos 2018.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam, Fahmi Abd Moin.
Terdahulu, Mariah mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM terdekat dengan kediaman tertuduh, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Fahmi dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan sebanyak RM5,000 dengan alasan tertuduh masih menanggung empat orang anak dan seorang ibu.
"Isteri tertuduh yang bekerja sebagai pembantu tadbir hadir untuk membayar jaminan. Tertuduh yang ketika ini bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak RM12,000 sebulan bersama isterinya," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam, Selangor menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan
Mahkamah turut menetapkan 19 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut.






