Bekas pengurus tidak mengaku pecah amanah projek bangunan milik Tabung Haji

15 Sep 2026 • 10:52 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from:  Bekas pengurus tidak mengaku pecah amanah projek bangunan milik Tabung Haji

KOTA BHARU: Seorang bekas pengurus sebuah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah dengan mengutip penalti sebanyak RM14,000 daripada kontraktor melibatkan projek membina dan menyiapkan projek sebuah bangunan komersial setinggi 22 tingkat milik Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), kira-kira sembilan tahun lalu.

Mohamad Hashim Mukhatap, 53, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Dazuki Ali selepas pertuduhan selesai dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan Pengurus Pembinaan THP Timur Sdn. Bhd. didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta dengan memasukkan wang RM14,000 ke dalam akaun bank miliknya.

Wang berkenaan didakwa hasil kutipan penalti terhadap kontraktor, Kelpile Sdn. Bhd. bagi projek cadangan membina dan menyiapkan sebuah bangunan komersial 22 tingkat milik Tabung Haji.

Projek di atas Lot 273 Seksyen 12, di sini itu merangkumi 244 unit pangsapuri perkhidmatan, empat unit kediaman di tingkat teratas, kemudahan awam di aras tujuh, ruang perniagaan dua tingkat, tempat letak kereta lima tingkat, aras bawah tanah tambahan satu tingkat serta kemudahan berkaitan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Sofea Residensi, Seksyen 12, di sini antara 15 November 2017 hingga 8 Ogos 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam Fahmi Abd. Moin.

Terdahulu, Mariah mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat dengan kediamannya, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, Fahmi dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan sebanyak RM5,000 dengan alasan anak guamnya masih menanggung empat anak dan seorang ibu.

“Isteri tertuduh yang bekerja sebagai pembantu tadbir hadir untuk membayar jaminan. Tertuduh yang ketika ini bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak RM12,000 sebulan bersama isterinya,” katanya.

Mahkamah  membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam, Selangor, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 19 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut. – UTUSAN

The post  Bekas pengurus tidak mengaku pecah amanah projek bangunan milik Tabung Haji appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved