
KOTA BHARU, 14 Sept (Bernama) -- Seorang bekas timbalan pengurus besar pembinaan dan seorang bekas pengurus projek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu esok susulan penemuan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah mendapat izin untuk mendakwa dua individu itu.
Beberapa individu telah didakwa susulan penemuan RCI TH termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Jamil Khir Baharom atas tiga pertuduhan menyebabkan TH melupuskan wang RM860,308,770.51 atau SAR766,060,237 (Riyal Saudi) kepada syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi.
Mereka yang turut didakwa ialah bekas Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn Bhd Nasahruddin Ahmad serta bekas Timbalan Pengurus Besar TH Properties Sdn Bhd Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin yang juga bekas Timbalan Pengurus Besar THP Bina Sdn Bhd.
Selain itu, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd Datuk Azmi Ahmad juga telah dihadapkan ke mahkamah.
-- BERNAMA






