Bekas tentera jadi warden sepenuh masa MRSM mulai 1 Januari 2027

LocalPolitics
29 Sep 2026 • 1:34 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bekas tentera jadi warden sepenuh masa MRSM mulai 1 Januari 2027

PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan melantik warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di semua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara bermula 1 Januari 2027.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira dapatan Kajian Keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera yang dilaksanakan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.

Menurut beliau, kajian diketuai Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman dari Institut Pengajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menunjukkan pelantikan bekas tentera sebagai warden memberi kesan positif terhadap aspek disiplin dan keselamatan pelajar.

“Antara dapatan utama kajian ialah warden bekas tentera berkesan mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama selain mendapat penerimaan positif daripada pelajar, ibu bapa serta pentadbir.

“Kehadiran warden secara kerap dan sistematik juga meminimumkan ruang berlakunya buli dan vandalisme,” katanya.

Beliau berkata, pelajar turut dilaporkan berasa lebih selamat dan berdisiplin dalam mematuhi jadual, menjaga kekemasan diri serta asrama selain menerapkan nilai hormat dan adab.

“Warden juga mampu memperkukuh dimensi kerohanian pelajar menerusi penglibatan langsung dalam aktiviti keagamaan.

“Pada masa sama, langkah ini dapat mengurangkan beban guru supaya mereka boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik dan bimbingan sahsiah pelajar,” katanya.

Tambah Asyraf Wajdi, hasil kajian menunjukkan penurunan ketara isu disiplin pelajar, manakala kes buli sepanjang tempoh keberadaan warden terbabit dilaporkan hampir sifar.

Katanya, berdasarkan dapatan positif itu, 10 MRSM sudah melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera sejak Julai lalu.

“Alhamdulillah, hasilnya setakat ini amat positif dengan penurunan kes-kes disiplin secara drastik di semua MRSM yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta UPM bekerjasama dengan Mara bagi menyediakan modul latihan khusus kepada warden baharu serta meneruskan kajian berkaitan isu buli mental secara lebih menyeluruh.

“Terima kasih dan penghargaan kepada seluruh pasukan penyelidik IPSAS UPM atas kajian yang menyeluruh dan amat bermanfaat buat Mara serta MRSM,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Bekas tentera jadi warden sepenuh masa MRSM mulai 1 Januari 2027 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved