TANAH MERAH - Bekas wartawan sambilan Sinar Harian serta turut dikenali sebagai penulis prolifik dan penulisan kreatif, Hashim Latiff, 65, meninggal dunia jam 1.42 pagi pada Selasa.
Menurut adik iparnya yang juga merupakan bekas wartawan Sinar Harian dan pernah bertugas sebagai Skuad Kuala Krai, Azura Mohamad, 48, abang iparnya itu menghembuskan nafas terakhir di samping keluarga di rumahnya di Kampung Kuala Tiga di sini.
"Sebelum ini abang telah dimasukkan ke Hospital Tanah Merah dan keadaannya tenat.
"Pihak hospital hanya memberi dua pilihan kepada ahli keluarga sama ada ditidurkan atau dibawa pulang," katanya ketika dihubungi.
Menurut dia, keluarga memilih membawa Hashim pulang ke rumah pada Rabu lalu.
Abang iparnya itu mengalami masalah kesihatan termasuk jantung, darah tinggi, penyakit buah pinggang dan paru- paru.
Azura memberitahu, Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rosliza Mohamad, 54, dan lima anak berusia antara 20 hingga 33 tahun.
"Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Tiga selepas solat Zohor," katanya.
Selain pernah berkhidmat sebagai wartawan sambilan di Sinar Harian, Allahyarham Hashim pernah menghasilkan pelbagai karya termasuk novel, cerpen dan skrip drama radio di RTM termasuk skrip Salam Pantai Timur.
Nama beliau bukan asing dalam dunia penulisan kreatif Kelantan, malah dikenali sebagai antara penulis prolifik dan banyak menghasilkan karya yang mengangkat kehidupan masyarakat, budaya serta kearifan tempatan.
Antara karya beliau ialah Serunai Malam, Pendekar Sufi, Aku Bukan Kaki Bangku, Permata di Anjung Desa dan Anak Jal Besar.





